Bagi meleraikan kesalahan frasa sedemikian dalam usaha memurnikan dan mendaulatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan pengguna bahasa Melayu sedikit maklumat boleh kita kongsi bersama setelah mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari MUNSYI DEWAN.
Dalam penulisan karangan, pelajar menganggap bahawa penggunaan perkataan tersebut akan meningkatkan markah dari segi kosa kata. Yang menyedihkan saya ialah guru-guru bahasa Melayu mereka yang menggalakkan penggunaan frasa tersebut. Penggunaan frasa `mutakhir ini’ dan `marcapada ini’ sebenarnya tidak menepati penggunaan bahasa yang baku. Hal ini dikatakan demikian kerana frasa tersebut mempunyai kelewahan bahawa.
Jika kita meneliti Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan `mutakhir’ bermaksud :
terakhir, akhir-akhir ini, terbaharu, kemas kini. Ayat contoh yang dikemukakan ialah:
- Dalam seminar itu, mereka akan membicarakan puisi Malaysia mutakhir.
- A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera mutakhir di dunia.
1(a) Dalam seminar itu, mereka akan membicarakan puisi Malaysia terakhir.
2(a) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera terakhir di dunia.
1(b) Dalam seminar itu, mereka akan membicarakan puisi Malaysia akhir-akhir ini.
2(b) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera akhir-akhir di dunia.
1(c) Dalam seminar itu, mereka akan membicarakan puisi Malaysia terbaharu.
2(c) A.Samad Said terus-menerus mengikuti perkembangan sastera terbaharu di dunia.
Sila lihat penggunaan perkataan `mutakhir’ dalam ayat yang berikut pula:
3.Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ialah buku rujukan mutakhir yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menentukan betul salah aspek tatabahasa dalam peperiksaan.
4.Pengkaji-pengkaji kesusasteraan hendaklah membaca buku-buku berkaitan tentang kesusasteraan Melayu karya Ismail Hussein, Hooykas, Lew Yock Fang dan sarjana-sarjana mutakhir.
Perkataan `marcapada’ pula bermaksud dunia sekarang ini. Lihat penggunaan perkataan tersebut dalam ayat yang di bawah ini:
5.Orang Mukmin tidak akan terpengaruh dengan marcapada yang penuh dengan tipu daya.
Sebagai kesimpulannya, pengguna hendaklah mengelakkan penggunaan bahasa yang lewah dalam penulisan. Sebagai guru, kita janganlah mengajar murid tentang penggunaan bahasa yang salah dan tidak tepat. Oleh itu, mereka perlulah merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat atau buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah dan Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Menengah. Dengan mempraktikkan penggunaan bahasa Melayu yang betuk, hal ini bermakna kita telah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan