Ahad, 20 Februari 2011

Dulu , Dahulu, Saja, Sahaja, Baru dan Baharu

Perkataan `dulu’ ialah kependekan perkataan `dahulu’. Perkataan `dulu’ dikategorikan sebagai bahasa percakapan atau digunakan dalam suasana yang tidak formal. Makna perkataan `dahulu’ ialah:
1. masa yang telah lalu. Ayat contoh: Dahulu  kala, manusia tinggal di dalam gua.
2. mula-mula dilakukan atau dibuat: Ayat contoh: Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum bertindak.
3. di hadapan. Ayat contoh:  Kamu pergilah dahulu ke sana; saya akan datang sebentar sahaja lagi.
Perkataan `saja’ pula  ialah kependekan atau bahasa percakapan untuk  sahaja. Perkataan ini bermaksud:
4. Tiada yang lain atau satu-satunya. Ayat contoh: Dialah sahaja yang sanggup membantu saya apabila saya berada dalam kesusahan.
5.  selalu demikian, iaitu tentang keadaan, hal dan lain-lain) atau  masih begitu juga. Ayat contoh: Sudah tiga bulan dia duduk di rumah sahaja kerana kedua-dua belah kainya patah.
6. Usahkan atau jangankan,  malah atau  pun. Ayat contoh: Usahkan menegur, melihat sahaja  dia tidak sudi.
7. sesiapa pun atau sebarang. Ayat contoh: Ke mana-mana sahaja  dia pergi, isterinya  sudah tentu dibawa bersama.
8. dapat dilakukan  dengan  mudah atau  dengan  sesuka hati atau rela hati. Ayat contoh: Guni yang berat itu dipikulnya sahaja. Wang sejumlah RM100 itu diberikannya  sahaja  kepada orang itu.
9. Untuk menguatkan erti perkataan sebelumnya, iaitu bermaksud sangat atau  sekali. Ayat contoh: Perkara itu mudah sahaja diselesaikan.

Jika perkataan `dulu’ dan `saja’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan untuk  perkataan `dahulu’ dan `sahaja’, kedua-dua perkataan ini berbeza dengan perkataan `baru’ dan `baharu’. Walaupun Kamus Dewan tidak membezakan perkataan `baru’ dengan `baharu’, sebenarnya kedua-kedua perkataan ini berbeza dari segi  kategori dan makna. Perkataan `baru’ termasuk dalam golongan kata bantu yang bermaksud  `belum lama’. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `just.’.

Ayat contoh:
10. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi.
11. Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua kakitangan kerajaan akan diberi bonus sebulan gaji.
Perkataan `baharu’ pula termasuk dalam golongan kata adjektif  yang bermaksud belum ada sebelumnya atau belum lama wujud. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `new’. Ayat contoh:
12.Ayah telah membeli rumah baharu untuk kami.
13.Adik akan memakai baju baharu apabila ke rumah nenek nanti.

Kesimpulannya, perkataan `saja’, `dulu’, dan `baru’ tidak boleh disamakan pembentukan dan maknanya dengan perkataan `sahaja’, `dahulu’ dan `baharu’. Perkataan `saja’, dan `dulu’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan bagi perkataan `sahaja’ dan `dahulu’. Dari segi golongan kata, perkataan `dahulu’ atau `dulu’ merupakan adverva. Perkataan `sahaja’ dan `saja’ pula  termasuk dalam beberapa golongan kata tugas bergantung pada maknanya dalam ayat. Perkataan `sahaja’ boleh berfungsi sebagai kata penegas, kata penguat, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, usaha panel penulis buku Tatabahasa Dewan yang membezakan maksud dan penggunaan perkataan `baru’ dengan `baharu’ patut dipuji. Oleh sebab Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan buku Tatabahasa Dewan sebagai buku tatabahasa pegangan untuk murid dan guru yang mempelajari subjek Bahasa Melayu di sekolah, semua pihak haruslah menerima penggunaan perkataan `baru’ dan `baharu’ sebagai perkataan yang berbeza dari segi makna dan golongannya.

1 ulasan: