Sabtu, 26 Mac 2011

TAHNIAH DAN SYABAS CALON SPM 2010

BILANGAN CALON
SMK BUKIT PAYONG = 133 ORANG
TIDAK HADIR = 1 ORANG

A+ = 9 ORANG
A= 14 ORANG
A-=22 ORANG

B+=26 ORANG
B=21 ORANG

C+=13 ORANG
C=8 ORANG

D=12ORANG

E=4 ORANG

G=4 ORANG

BILANGAN LULUS=129 ORANG
BILANGAN GAGAL=4 ORANG

% LULUS=96.99
% GAGAL=3.0

% LULUS 2007 - 2010

2007 = 87.3
2008=95.0
2009=94.4
2010=96.99(TERBAIK)

GPK = 3.65

Jumaat, 11 Mac 2011

PERIBAHASA 1-50

0001:  Ada air, adalah ikan.

Makna: Apabila ada sesebuah negeri, maka ada pulalah rakyatnya.

Sama erti: Ada padang, ada belalang.
Contoh: Mereka menyangka kawasan dingin bersalji seperti Greenland itu tidak didiami orang, tetapi sebenarnya tempat itu didiami oleh orang Eskimo, seperti kata orang ada air, adalah ikan.


0002:  Ada aku dipandang hadap, tiada aku dipandang belakang.

Makna: Kasih sayang hanya waktu berhadapan saja, tetapi jikalau berjauhan maka selalunya dilupakan.

Sama erti: Ibarat bunga, sedap dipakai, layu  dibuang.  

Contoh:  Dia itu bercakap saja manis, tetapi kalau waktu kita tidak ada dia akan cepat berpaling tadah; ….


0003:  Ada angin, ada pokoknya (pohonnya).

Makna: Segala sesuatu mestilah ada asal mulanya.

Sama erti: 1.  Jika hulunya keruh, hilirnya pun keruh juga.  2. Usul menunjukkan asal. 3.  Daun mengenalkan pohonnya. 4.  Buruk perahu, buruk pengkalannya.

Contoh: Tiap-tiap sesuatu yang ada di dunia ini tidak kekal kejadiannya.  Begitulah juga ia mempunyai permulaan kejadiannya, bagaikan `ada angin, ada pokoknya’.


0004: Ada bangkai, adalah haring.

Makna: Ada perempuan jahat, adalah lelaki jahat yang mengunjunginya.    

Sama erti: 1.  Ada bau, adalah bangkai. 2.  Ada bangkai, adalah ulat.  3.  Di mana anjing menyalak, di situlah biawak menenjal.

Contoh: Setiap malam terdapat ramai orang-orang lelaki yang pergi ke kawasan pelacuran itu, kerana di situ terdapat ramai pelacur-pelacur yang masih muda.  Hal ini umpama, `ada bangkai, adalah haring’.


0005: Ada batang, cendawan tumbuh.

Makna: Tiap-tiap negeri ada undang-undang dan adat resamnya masing-masing.

Sama erti: 1.  Lain lubuk, lain ikannya. 2.  Lain padang, lain belalang.

Contoh: Kevin Barlow telah dijatuhkan hukuman bunuh akibat mengedar dadah di Malaysia, walupun beliau adalah rakyat Australia, kerana `ada batang, cendawan tumbuh’.


0006: Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh.

Makna: Di mana juga kita tinggal, akan ada rezeki kita.

Sama erti: 1.  Rezeki helang tak akan dapat musang. 2.  Ulat di dalam batu lagikan hidup.

Contoh: Di atas bumi Allah ini, ke mana sahaja kita pergi, kita akan mendapat rezeki darinya, kerana `ada batang mati, adalah cendawan tumbuh’.        
                  
 
0007: Ada beras, taruh dalam padi.

Makna: Rahsia hendaklah disimpan baik-baik.

Sama erti: 1. Pandai makan, pandailah simpan.  2.  Kelip-kelip terbang malam. 3.  Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Contoh: Adalah menjadi suatu kesalahan besar apabila rahsia kerajaan dibocorkan.  Maka setiap anggota Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mestilah bersikap `ada beras, taruh dalam padi’.


0008: Ada biduk, serempu pula.

Makna: Tidak puas dengan apa yang sudah dimiliki.

Sama erti: 1.  Bagai Belanda minta tanah. 2. Seperti anjing menggonggong tulang.  3.  Diberi betis, hendak paha.

Contoh: Ramai di kalangan masyarakat kita yang telah memiliki harta untuk hidup, namun tetap berusaha untuk menambahkan lagi harta itu.  Mereka ini dapatlah diibaratkan `ada biduk, serempu pula.


0009: Ada bukit, ada paya.

Makna : Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya.

Sama erti: 1.  Ada sama dimakan, tak sama ditahan. 2.  Tiada gading yang tak retak.
                        
Contoh: Allah menjadikan isi alam ini dengan sifatnya yang berlawanan.  Ada baik, ada jahat, ada miskin, ada kaya, ada bahagia dan ada pula yang derita.   Segalanya ini bagaikan `ada bukit, ada paya’.


0010: Ada gula, ada semut.

Makna: Di tempat orang mudah mendapat rezeki, banyaklah orang berkumpul.

Sama erti: Ada padi masak, adalah pipit.

Contoh: Perpindahan kaum belia dari desa ke kota semakin bertambah, pada setiap tahun.  Hal ini adalah ekoran daripada kegiatan perindustrian yang giat dijalankan di sana, yang menyediakan berbagai peluang pekerjaan.  Maka kota sekarang ini ibarat kata `ada gula, ada semut’, yang menjadi tumpuan memperolehi pendapatan.


0011: Ada hari, ada nasi.

Makna: Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki.

Sama erti: 1.  Ada nyawa, ada rezeki.  2.  Ada umur, ada rezeki.

Contoh: Emak selalu menasihatkan anak-anaknya agar tekun berusaha untuk mencari rezeki, selagi masih hidup, kerana `ada hari, ada nasi’.


0012: Ada hari, ada panas, ada hari, boleh balas.

Makna: Perbuatan jahat itu sewaktu-waktunya akan mendapat balasan juga.

Sama erti: 1. Tangan mencincang, bahu memikul.  2.  Ada ubi ada batas, ada hari ada  balas.

Contoh: Tentera Rusia telah menyerang hendap pasukan Mujahidin di kawasan pergunungan itu.  Sejak peristiwa yang menyedihkan itu, pasukan Mujahidin telah berazam untuk membalas serang kerana `ada hari, ada panas, ada hari, boleh balas’.   
         

0013: Ada jarum, hendaklah ada benangnya.
       
Makna: Tiap-tiap suatu itu, ada pasangannya.

Peribahsa sama erti: 1.  Asal ada, kecil pun ada.  2.  Ada laut, ada perampok.  3.  Bagai bumi dengan langit.

Contoh: Allah menjadikan alam ini dengan sifatnya yang berpasangan, misalnya apabila dijadikan syurga, maka dijadikan juga neraka, kerana apabila `ada  jarum, hendaklah ada benangnya. Sengalanya ini adalah untuk menunjukkan akan kesempurnaan dan
keadilan ciptaannya.


0014: Ada kerak, ada nasi.
                                             
Makna: Tiap-tiap sesuatu kejadian itu, tentu ada bekasnya.

Sama erti: Bermain pisau, luka.

Contoh: Guru agama itu selalu berpesan kepada anak-anak muridnya agar berhati-hati ketika bertindak sesuatu, kerana segala tindak tanduk kita akan meninggalkan kesan sama ada ke atas diri sendiri ataupun orang lain.  Ini adalah kerana apabila `ada kerak, ada
nasi’.


0015: Ada laut, ada perampok.

Makna: Tiap-tiap sesuatu itu, ada pasangannya.

Sama erti: 1.  Asal ada, kecil pun ada.  2.  Ada jarum, hendaklah ada benangnya.  3.  Bagai bumi dengan langit.

Contoh: Kesempurnaan dan keadilan makhluk ciptaan Allah, dapat dilihat pada sifatnya yang berpasangan, bagaikan `ada laut, ada perampok’.


0016: Ada nasi (bernasi) di balik kerak.

Makna: Masih ada sesuatu yang belum diselesaikan atau belum diperhatikan.

Sama erti: Tiada

Contoh: Anis telah dimarahi oleh guru mata pelajaran Ilmu Hisabnya kerana masih belum menyelesaikan sebahagian daripada kerja rumah yang diberikan.  Sungguhpu Anis tidak melakukan sebarang kesalahan bagi kerja rumah yang dibuatnya, tetapi gurunya itu masih menganggapkan kerjanya bagaikan `ada nasi di balik kerak’.


0017: Ada nyawa, ada rezeki.

Makna: Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki.

Sama erti: 1.  Ada umur, ada rezeki.  2.  Ada hari, ada nasi.  3. Ulat di dalam batu, lagikan  hidup.

Contoh: Pak Mat telah berusaha dengan begitu tekun sekali untuk menambahkan pendapatannya dari tangkapan ikan, demi bagi menyara anaknya yang ramai.  Namun, usaha gigihnya itu tidak mendatangkan hasil, terutama di musim tengkujuh.  Walau bagaimanapun, Pak Mat tetap berkeyakinan bahawa selagi `ada nyawa, ada rezeki’.


0018: Ada persembahan, ada kurnia.

Makna: Berbuat baik dibalas baik.
 
Sama erti: 1.  Orang berbudi, kita berbahasa. 2.  Orang campak bunga, takkan kita  campak tahi.

Contoh: Emak selalu berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa berbudi bahasa dan bersopan-santun terhadap orang-orang yang lebih tua, kerana `ada persembahan, ada kurnia’ dan jangan bersikap sombong terhadap mereka pula.


0019: Ada rotan, ada duri.

Makna: Dalam kesenangan tentulah ada kesusuhannya.

Sama erti: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang tepian. 

Contoh: Di dalam kehidupan yang sementara ini, kita hendak sentiasa beringat bahawa di antara kesenangan dan kesusahan itu adalah silih berganti, bak `ada rotan, ada duri’, yang segalanya adalah ujian Allah terhadap makhluknya.


0020: Ada rupa, ada harga.

Makna: Harga barang menurut rupanya.

Sama erti: Daripada daun, kenallah pohonnya.

Contoh: Noriza telah dipinang dengan mas kahwin yang mahal kerana beliau adalah di antara gadis yang cantik sekali di kampung itu, bak kata orang `ada rupa, ada harga’.     


0021: Ada sampan hendak berenang.

Makna: Sengaja bersusah payah.

Sama erti: 1. Bagai buluh ditarik songsang.  2.  Anak badak dihambat-hambat. 3.  Beranak tak berbidan.  4.  Menjerat leher sendiri. 5.  Mendukung biawak hidup. 6.  Tiada beban, batu digalas.  7.  Tahan jerat, songsang kepala.

Contoh: Hassan telah dimarahi oleh majikannya kerana membuat kerja yang disuruh secara yang sukar, bak `ada sampan hendak berenang’.  Ini melambatkan kerja yang dibuatkannya.


0022: Ada seperti tampaknya apung-apung.

Makna: Barang yang dihajati telah ada, tetapi belum tentu dapat diambil atau dipakai.

Sama erti: 1.  Biduk ada, pengayuh tiada. 2. Hajat hari nak peluk gunung, apa daya tangan tak sampai.

Contoh: Zaidi berada di dalam keadaan `ada seperti tampaknya apung-apung’ apabila dia bercita-cita ingin meminang anak Encik Abdullah, tetapi belum mencukupi simpanan wangnya.


0023: Ada sirih hendak makan sepah.

Makna: Ada yang baik, hendakkan yang buruk.

Sama erti: Tiada.

Contoh: Encik Haris telah mempunyai kereta baru yang cantik, tetapi masih berkeinginan untuk membeli kereta lama yang buruk itu.  Sikap Encik Harith ini bagaikan `ada sirih, hendak makan sepah’.


0024: Ada tangga hendak memanjat tiang.

Makna: Berbuat sesuatu dengan tidak menurut aturan.

Sama erti: 1.  Belum beranak, berbisan dahulu. 2.  Belum duduk, sudah berlunjur. 3.  Belum beranak, sudah ditimang.  4.  Dahulu disorak, kemudian ditolak.

Contoh: Tukang kebun itu telah dimarahi oleh tuannya kerana bekerja dengan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh tuannnya, lalu dianggap `ada tangga, hendak memanjat tiang’.    
  

0025: Ada ubi ada batas, ada masa boleh balas.

Makna: Perbuatan jahat itu sewaktu-waktunya akan mendapat balasan juga.  Aspek-aspek di dalam perbincangan ini, seperti versi lain, sinonim, antonim, ulasan peribahasa  dan ayat yang menggunakan peribahasa adalah sama seperti di dalam perbincangan di atas.

Sama erti:

Contoh: 


0026: Ada ubi ada talas, ada budi ada balas.

Makna: Berbuat baik dibalas baik, berbuat jahat dibalas jahat; tiap-tiap aksi ada reaksinya.

Sama erti: Kalau baik disebut baik, kalau jahat, jahatlah.

Contoh: Ketua kampung itu telah mengingatkan anak-anak buahnya agar jangan bertindak keterlaluan di kehidupan bermasyarakat kerana `ada ubi ada talas, ada budi ada balas’.


0027: Ada udang di balik batu.

Makna: Ada sesuatu maksud yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan.

Sama erti: 1. Masak di luar, mentah di dalam.  2.  Berlurah di balik pendakian. 3.  Dalam kilat ada kilau.

Contoh: Lelaki yang datang pada waktu senja ke rumah Tuan Haji Hashim agak mencurigakan kerana daripada tindak tanduknya seolah-olah `ada udang di balik batu’.
 
     
0028: Ada ulam hendaklah ada sambalnya.

Makna: Tiap-tiap sesuatu itu ada pasangannya.

lihat 0013


0034: Ada umur, ada rezeki.

Makna: Asal masih hidup, tentu akan beroleh rezeki.

Aspek-aspek lain di dalam perbincangan mengenai peribahasa ini adalah sama dengan perbincangan yang telah  dibuat pada peribahasa di atas (No. 11).

Sama erti:

Contoh: 


0035: Ada wang abang sayang, tak ada wang abang payah.

Makna: Kasih sayang hanya kerana memandang harta benda.

Sama erti: 1. Ada wang abang sayang, tak ada wang  abang melayang.  2.  Hidung dicium, pipi digigit.

Contoh: Puan Aziah dituduh sanggup menjadi isteri muda Encik Zainal semata-mata kerana suaminya itu seorang yang kaya. Perkahwinan itu hanya akan kekal selagi Encik Zainal kaya kerana bagi Puan Aziah `ada wang abang saya, tak ada wang abang payah’.


0036: Ada wang abang sayang, tak ada wang abang melayang.

Makna: Kasih sayang hanya kerana memandang harta-benda.
                          
Aspek-aspek  lain di dalam perbincangan ini seperti aspek sinonim, antonim, ulasan peribahasa dan ayat yang  menggunakan peribahasa ini, adalah sama seperti di dalam  perbincangan mengenai peribahasa di atas (nombor 35).


0037: Adakah buaya menolak bangkai?

Makna: Seorang jahat  tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan.

Sama erti: 1.  Apa lagi ular sawa berkehendak ayamlah.  2.  Baung tidak menolak seluang.

Contoh: Sebagai seorang bekas banduan akibat  kegiatan jenayah, Encik Mid pasti akan terus melakukan  lagi kegiatan jenayah selepas dibebaskan kerana `adakah  buaya menolak bangkai’.


0038: Adakah duri dipertajam?

Makna: Orang cerdik tidak guna diberi nasihat; musuh tidak perlu diberi pertolongan.

Sama erti: 1.  Buang bunga ke jirat.  2.  Bagai mencurah air ke daun  keladi.  3.  Itik diajar berenang. 4.  Batu direbus tak akan empuk. 5.  Menabur benih di atas batu. 6.  Membuang garam ke laut. 7.  Memberi laut kepada orang membantal.  8.  Seperti hujan jatuh ke pasar.
9. Bagai melepaskan anjing tersepit.

Contoh: Cikgu Hashim sering memberikan nasihat kepada pelajar-pelajarnya agar berhati-hati ketika  memberikan sebarang bantuan, baik yang berupa wang,  tenaga, ilmu ataupun nasihat kalau tidak diperlukan  kerana `apakah duri dipertajamkan’.


0039: Adapun kata ada pangkalnya.
     
Makna: Tiap-tiap suatu itu ada asal-usulnya.

Sama erti: 1.  Daripada daun, kenallah  pohonnya. 2.  Daripada buah, kenallah  pokoknya.  3.  Usul menunjukkan asal.

Contoh: Kewujudan sesuatu benda atau kejadian  di dalam dunia ini pasti mempunyai asal usul kejadiannya.   Adalah mustahil sesuatu  itu bersifat sedia ada, tanpa  permulaannya, kerana `adapun kata, ada pangkalnya’.


0037: Adakah buaya menolak bangkai?

Makna: Seorang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan.

Sama erti: 1.  Apa lagi ular sawa berkehendak ayamlah.  2  Baung tidak menolak seluang.

Contoh: Sebagai seorang bekas banduan akibat  kegiatan jenayah, Encik Mid pasti akan terus melakukan  lagi kegiatan jenayah selepas dibebaskan kerana `adakah  buaya menolak bangkai’.


0038: Adakah duri dipertajam?

Makna: Orang cerdik tidak guna diberi nasihat; musuh  tidak perlu diberi pertolongan.

Sama erti: 1.  Buang bunga ke jirat.  2.  Bagai mencurah air ke daun  keladi.  3.  Itik diajar berenang. 4.  Batu direbus tak akan empuk. 5.  Menabur benih di atas batu. 6.  Membuang garam ke laut. 7.  Memberi laut kepada orang membantal.  8.  Seperti hujan jatuh ke pasar. 9.Bagai melepaskan anjing tersepit.

Contoh: Cikgu Hashim sering memberikan nasihat kepada pelajar-pelajarnya agar berhati-hati ketika  memberikan sebarang bantuan, baik yang berupa wang,  tenaga, ilmu ataupun nasihat kalau tidak diperlukan  kerana `apakah duri dipertajamkan’.


0039: Adapun kata ada pangkalnya.
     
Makna: Tiap-tiap suatu itu ada asal-usulnya.

Sama erti: 1.  Daripada daun, kenallah  pohonnya. 2.  Daripada buah, kenallah  pokoknya.  3.  Usul menunjukkan asal.

Contoh: Kewujudan sesuatu benda atau kejadian  di dalam dunia ini pasti mempunyai asal usul kejadiannya.   Adalah mustahil sesuatu itu bersifat sedia ada, tanpa  permulaannya, kerana `adapun kata, ada pangkalnya’.


0040: Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat.

Makna:

Sama erti:

Contoh:


0041: Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah.

Makna: Pergaulan di dalam masyarakat hendaklah sesuai dengan adat dan syarak.

Sama erti: 1.  Air orang disauk, ranting orang  dipatah, adat orang diturut.  2.  Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.  3.  Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang
kerbau  menguak.  4.  Adat yang kawi, syarak yang  lazim.

Contoh: Setiap orang apabila merantau ke negeri orang, hendaklah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan masyarakat di situ, iaitu dari segi resam kehidupannya, kerana `adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah.


0042: Adat bernegeri memagar negeri; ada berkampung  memagar kampung.

Makna: Tidak mementingkan diri sendiri.

Sama erti: 1.  Seperti sumbu pelita membakar diri menerangi yang lain.

Contoh: Ketua kampung itu sentiasa bertungkus lumus memikir dan berusaha untuk memajukan taraf  kehidupan anak-anak buahnya tanpa sebarang kepentingan untuk diri sendiri, kerana dirinya itu bagaikan `ada  bernegeri memagar negeri, adat berkampung memagar kampung’.


0043: Adat bertentu, bilang beratur.

Makna: Segala pekerjaan harus dilakukan menurut peraturan yang sudah ada.

Sama erti: 1.  Adat diisi, lembaga dituang. 2.  Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. 3.  Berbilang dari satu, mengaji dari alif.


Contoh: Kementerian Pelajaran telah menetapkan beberapa peraturan untuk dikuatkuasakan di sekolah menengah untuk membendung masalah disiplin yang semakin ketara sekarang.  Maka setiap pelajar dikehendaki mematuhinya agar tidak menerima hukuman, kerana `adat bertentu, bilang beratur’.


0044: Adat di atas tumbuh, pusaka di atas tempat.

Makna: Tiap-tiap orang yang akan membicarakan hal adat sesebuah negeri hendaklah dengan benar-benar mengetahui asal-usul adat itu supaya terhindar dari kekeliruan dan salah faham.

Sama erti: 1.  Masuk kandang kambin mengembek, masuk kandang lembu menguak  2.  Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung.

Contoh: Demi perpaduan negara, setiap rakyat seharusnya mengenali dan memahami adat resam kaum yang lain agar tidak timbul sebarang kekeliruan, kerana `adat di atas tumbuh, pusaka di atas tempat’.


0045: Adat diisi, janji dilabuh.

Makna: Adat harus dijalankan, persetujuan harus ditepati.

Sama erti: 1.  Kata itu kota.  2.  Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada kata  janji. 3.  Biar mati anak, jangan mati adat.

Contoh: Setiap anak-anak muda wajar sekali mengenali dan mengamali adat budaya bangsa mereka yang  diwarisi daripada nenek moyang mereka, di samping bersikap jujur terhadap sebarang janji kerana `adat diisi, janji dilabuh’, demi mempertahankan maruah bangsanya.


0046: Adat diisi, tembaga dituang.

Makna: Mengerjakan sesuatu hendaklah menurut apa yang diadatkan.

Sama erti: 1.  Adat bertentu, bilangan  beratur. 2.  Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.  3.  Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.

Contoh: Perbuatan membuang kasut ketika menziarahi rumah orang-orang Melyu adalah tindakan menuruti adat masyarakatnya, kerana `adat diisi, lembaga dituang’.


0047: Adat dipakai baru, kain dipakat usang.

Makna: Adat yang baik, kalau diikuti, akan mengangkat darjat orang mengikutinya itu, kerana kalau adat dipakai selalu, maka barulah tampaknya.

Sama erti:1. Dek suka berkapuh ijuk, nan adat dituruti.  2. Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

Contoh: Setiap anggota masyarakat seharusnya mengamali segala adat warisan bangsa yang baik, demi  meningkat darjat seseorang anggota masyarakat, di samping keseluruhan masyarakatnya, kerana ‘adat dipakai baru, kain dipakai usang’.


0048: Adat dunia balas membalas, syariat palu memalu.

Makna: Yang baik dibalas dengan yang baik dan yang buruk dibalas dengan yang buruk; manusia yang hidup mestilah bertolong-tolongan antara satu sama lain.

Sama erti: 1.  Wangi bak bunga, busuk bak tahi. 2.  Ringan sama dijinjing, berat  sama dipikul.  3.  Seperti aur dengan tebing.

Contoh: Di dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah bersikap bertolak ansur dan bantu membantu, kerana segala perbuatan kita pasti menerima balasan ataupun ganjaran, sebagai mana `adat dunia balas membalas, syariat palu memalu’.


0049: Adat gajah terdorong.

Makna: Orang yang berkuasa kerap kali menyalahgunakan kekuasaannya.

Sama erti: 1.  Harap pagar, pagar yang makan padi. 2. Umpama pisau di tangan kanan, mentinum di tangan kiri. 3.  Apa kata kukur, nyiur juga yang binasa.  4.  Anak-anak kecil menjadi makan ikan-ikan besar.

Contoh: Presiden Soekarno pada asalnya adalah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia yang bercita-cita  ingin meninggikan taraf hidup rakyatnya.  Namun apabila beliau berkuasa, beliau telah menggunakan kedudukannya untuk kepentingan diri, bagaikan `adat gajah terdorong’ pula jadinya’.


0050: Adat juara kalah memang.

Makna: Tiap-tiap usaha ada laba ruginya.

Sama erti: 1.  Belum tahu lagi, ayam sedang berlaga. 2.  Belum cuba, belum tahu.

Contoh: Walaupun pasukan bolasepak negara adalah merupakan bekas johan Pestabola Merdeka dan menerima pula latihan di luar negeri, namun di dalam pertandingan pada tahun ini, mereka telah tewas dengan teruk sekali, kerana `adat juara kalan menang.

Ahad, 20 Februari 2011

Dulu , Dahulu, Saja, Sahaja, Baru dan Baharu

Perkataan `dulu’ ialah kependekan perkataan `dahulu’. Perkataan `dulu’ dikategorikan sebagai bahasa percakapan atau digunakan dalam suasana yang tidak formal. Makna perkataan `dahulu’ ialah:
1. masa yang telah lalu. Ayat contoh: Dahulu  kala, manusia tinggal di dalam gua.
2. mula-mula dilakukan atau dibuat: Ayat contoh: Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum bertindak.
3. di hadapan. Ayat contoh:  Kamu pergilah dahulu ke sana; saya akan datang sebentar sahaja lagi.
Perkataan `saja’ pula  ialah kependekan atau bahasa percakapan untuk  sahaja. Perkataan ini bermaksud:
4. Tiada yang lain atau satu-satunya. Ayat contoh: Dialah sahaja yang sanggup membantu saya apabila saya berada dalam kesusahan.
5.  selalu demikian, iaitu tentang keadaan, hal dan lain-lain) atau  masih begitu juga. Ayat contoh: Sudah tiga bulan dia duduk di rumah sahaja kerana kedua-dua belah kainya patah.
6. Usahkan atau jangankan,  malah atau  pun. Ayat contoh: Usahkan menegur, melihat sahaja  dia tidak sudi.
7. sesiapa pun atau sebarang. Ayat contoh: Ke mana-mana sahaja  dia pergi, isterinya  sudah tentu dibawa bersama.
8. dapat dilakukan  dengan  mudah atau  dengan  sesuka hati atau rela hati. Ayat contoh: Guni yang berat itu dipikulnya sahaja. Wang sejumlah RM100 itu diberikannya  sahaja  kepada orang itu.
9. Untuk menguatkan erti perkataan sebelumnya, iaitu bermaksud sangat atau  sekali. Ayat contoh: Perkara itu mudah sahaja diselesaikan.

Jika perkataan `dulu’ dan `saja’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan untuk  perkataan `dahulu’ dan `sahaja’, kedua-dua perkataan ini berbeza dengan perkataan `baru’ dan `baharu’. Walaupun Kamus Dewan tidak membezakan perkataan `baru’ dengan `baharu’, sebenarnya kedua-kedua perkataan ini berbeza dari segi  kategori dan makna. Perkataan `baru’ termasuk dalam golongan kata bantu yang bermaksud  `belum lama’. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `just.’.

Ayat contoh:
10. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi.
11. Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua kakitangan kerajaan akan diberi bonus sebulan gaji.
Perkataan `baharu’ pula termasuk dalam golongan kata adjektif  yang bermaksud belum ada sebelumnya atau belum lama wujud. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `new’. Ayat contoh:
12.Ayah telah membeli rumah baharu untuk kami.
13.Adik akan memakai baju baharu apabila ke rumah nenek nanti.

Kesimpulannya, perkataan `saja’, `dulu’, dan `baru’ tidak boleh disamakan pembentukan dan maknanya dengan perkataan `sahaja’, `dahulu’ dan `baharu’. Perkataan `saja’, dan `dulu’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan bagi perkataan `sahaja’ dan `dahulu’. Dari segi golongan kata, perkataan `dahulu’ atau `dulu’ merupakan adverva. Perkataan `sahaja’ dan `saja’ pula  termasuk dalam beberapa golongan kata tugas bergantung pada maknanya dalam ayat. Perkataan `sahaja’ boleh berfungsi sebagai kata penegas, kata penguat, dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, usaha panel penulis buku Tatabahasa Dewan yang membezakan maksud dan penggunaan perkataan `baru’ dengan `baharu’ patut dipuji. Oleh sebab Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan buku Tatabahasa Dewan sebagai buku tatabahasa pegangan untuk murid dan guru yang mempelajari subjek Bahasa Melayu di sekolah, semua pihak haruslah menerima penggunaan perkataan `baru’ dan `baharu’ sebagai perkataan yang berbeza dari segi makna dan golongannya.